Sunday, April 22, 2007

Tajdid Iman: Takutkan Pencipta suatu kebahagiaan

Bila fikiran bercelaru.. perasaan selalu bertanya, kenapa?.. lantas, hati berkata.. kerana dirimu jauh dengan Allah.. Ya Allah .. ampunkan lah diri ini... semoga diri ini tergolong dari mereka yang sentiasa dekat denganMu.. Amin..

Petikan di bawah di ambil dari Berita Harian Online
....................................................................................................................

ABDULLAH bin Abbas pernah ditanya mengenai keadaan orang yang Khawf (takut) kepada Allah SWT. Beliau berkata: ”Hati mereka sentiasa gembira lantaran takut kepada Allah. Mata mereka bercucuran air mata sambil berkata: Bagaimana mungkin kami dapat menikmati kesenangan sedangkan kematian berada di belakang kami, kubur di hadapan kami dan Hari Kiamat dijanjikan kepada kami. Sementara di atas neraka jahanam jalan kami dan di hadapan Tuhan tempat kami berdiri untuk dibicarakan?”
Bayang-bayang ketakutan sentiasa menghantui kita. Manusia memiliki pelbagai jenis ketakutan. Takut kepada penyakit, takut diceroboh harta bendanya, takut menghadapi musibah, takut kehilangan orang dicintai, takut miskin, takut gagal, takut tua, takut tidak glamor dan pelbagai jenis ketakutan seumpama itu.

Semua itu menjadi sifat semula jadi yang terbentuk dalam diri manusia ketika menghadapi realiti kehidupannya setiap hari. Namun sifat takut yang sebegitu tidak seharusnya menghapus sifat takut paling penting dan wajib dimiliki hamba yang beriman, iaitu sifat takut kepada Allah Taala.

Seperti perkataan Ibnu Abbas tadi, takut kepada Allah SWT menjadikan diri kita gembira menikmatinya. Jika takut kepada realiti ujian duniawi, kita pasti akan berasa sedih dan risau.

Berlainan dengan rasa takut pada Allah SWT yang mendatangkan kegembiraan di hati. Anda pasti boleh membezakan ketika anda menangis kehilangan wang ringgit; adakah sama dengan tangisan ketika bersimpuh di hadapan Allah SWT pada waktu tengah malam yang tiada seorangpun bersama anda kecuali Dia. Anda menangis mengakui kesilapan diri dan datang kepada-Nya untuk bertaubat. Adakah sama tangisan itu?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah! Kurniakanlah hamba mata yang banyak menangis, yang dapat menyembuhkan hati dengan tangisan itu kerana takut kepada-Mu, sebelum mata itu berubah menjadi darah.” – (Hadis Riwayat Imam Al-Tabrani)

Ada beberapa faktor menyebabkan seseorang itu kehilangan rasa takut kepada Allah SWT antaranya:

l Tertipu dengan angan-angannya mengenai rahmat Allah SWT. Syaitan membisikkan ke dalam hati mereka bahawa rahmat Allah SWT itu mengatasi kemurkaan-Nya, oleh itu tiada sebab untuk meninggalkan maksiat.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya Talbisul Iblis (Belitan Iblis) menuliskan mengenai keadaan orang yang dibelit iblis laknatullah dalam hal menafikan takut kepada Allah SWT kerana mengharapkan rahmat-Nya.

Berkata Abu Amru bin Al-Ala’: “Diceritakan kepadaku bahawa Farazdaq pernah duduk dengan suatu kaum yang menyebut mengenai rahmat Allah, lalu mereka bertanya kepadanya: Mengapa engkau suka mencaci wanita yang baik dan suci? Dia berkata: Cuba kalian semua fikirkan, kalaulah aku berbuat dosa kepada ibu bapaku, sama seperti aku berbuat dosa kepada Tuhanku, apa pendapat kamu, adakah tergamak kedua-duanya melemparkan aku ke dalam kawah yang penuh api? Mereka menjawab: Tentulah tidak, kerana kedua-duanya mengasihimu! Dia berkata lagi: Aku penuh yakin dengan rahmat Tuhanku lebih daripada keyakinanku terhadap rahmat kedua-dua ibu bapaku!”

Ibnu al-Qayyim menjawab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Ini adalah kesilapan, yang pertama dia hanya melihat pada rahmat Allah SWT tanpa mengira azab-Nya. Dia melupakan rahmat Allah SWT itu hanya diberi kepada orang yang bertaubat dan bertakwa seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi siapa yang bertaubat.” (Surah Taha, ayat 82)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu dan Aku mencatatkannya untuk orang-orang yang takut (bertakwa).” – (Surah al-A’raf, ayat 156)

Bagaimana mungkin orang yang melakukan maksiat, tidak mahu bertaubat serta menganggap baik perbuatan jahat akan mendapat rahmat-Nya? Dan bagaimana mungkin orang yang kotor dengan dosa dapat disamakan dengan orang yang bertakwa? Alangkah sempitnya akal dan gelapnya hati orang yang mencari alasan untuk menghalalkan kemaksiatannya.

l Berasa yakin amalan yang dilakukan mampu menyelamatkannya daripada api neraka, sehingga dia tidak berasa takut berbuat maksiat di samping ketaatannya itu.

Sembahyang dikerjakan tetapi menghasut dan memfitnah orang jadi kegemaran. Puasa jadi amalan namun sayang nafsu tak dapat dikawal. Ada yang suka bersedekah tetapi gaji pekerjanya tidak dibayar. Dia tidak takut kepada azab Allah SWT kerana yakin sedekahnya boleh membela dirinya.

Sungguh terjadi kecelaruan amal dalam diri manusia begini. Baik dan buruk sama dibuat, dia tak tahu di manakah untung nasibnya bergolek. Syurga atau neraka bergantung kepada timbangan hisabnya. Begitulah bahayanya apabila kita beramal tetapi tidak disertai dengan rasa takut kepada Allah SWT.

Takut bukan bermakna lari daripada-Nya, bahkan semakin hamba takut, semakin dekat dia kepada Allah Taala. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan hati mereka gembira merasai nikmat ketakutan kepada-Nya.

Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak

No comments: