Sunday, October 25, 2009

"Tak sampai seru.."


"Saya tak boleh pergi lagi.. saya tak sampai seru lagi.. tunggu la.. "
Sebenarnya ramai yang tak faham dengan ungkapan itu.
Tetapi, biasanya ungkapan itu lah rata - rata orang akan berikan sekiranya soalan bila nak ke Mekah untuk menunaikan haji di tanya.

Sebelum ini, ummi pun agak kurang arif tentang ini. Apabila 'mengaji' sedikit sebanyak mengenai sirah ni, barulah tahu yang ungkapan itu sebenarnya salah. Dan, tak patut di jawab sebegitu sekiranya di tanya oleh seseorang kepada kita.

Seperti petikan di bawah; sebenarnya seruan telah lama sampai kepada kita... iaitu roh - roh kita yang telah menyahutnya..

Oleh itu, ummi mengharapkan kita semua akan mengotakan janji kita dengan Allah.. tak hari ini, mungkin lain ketika atau apabila kita diberi kelapangan.. cuma, semua perlu berdoa dengan Allah, semoga Allah permudahkan kepada kita semua untuk menunaikan haji..

InsyaAllah.. Moga bermanfaat untuk semua..

--------------------------------------------------------

Jabal Abi Qubais.Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes", dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-

" Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`".

Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:-
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 -)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda:

"Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji."

Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.

Untuk maklumat lanjut.. sila layari..
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=5045.0;wap2

No comments: