Wednesday, October 22, 2008
Berita Harian Online ; Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.
Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.
Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.
Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.
Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
Ng Siew Chok - Isyarat Otak
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.
Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
Berita Harian Online
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.
Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.
Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.
Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.
Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.
Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.
Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.
Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.
Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.
Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.
Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Sunday, March 23, 2008
Kronologi krisis MB Terengganu
| Kronologi krisis MB Terengganu |
| Mar 23, 08 11:03pm |
| Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga saat ini. Rentetan peristiwa krisis menteri besar Terengganu 10 Mac - majlis angkat sumpah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan. 11 Mac - Idris, wakil Jertih dan juga pengerusi BN negeri, kelihatan sugul dan tegang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua. 12 Mac - nama Datuk Ahmad Said, wakil rakyat Ajil, antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris. Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid, wakil Ajil, dan Datuk Mohamad Awang Tera, wakil Chukai, turut dinamakan. Mohamad menafikannya kepada Malaysiakini dan menyebut beliau dan wakil-wakil BN akan berdiri di belakang Idris. 14 Mac - Idris mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan semua 24 wakil BN dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya. 15 Mac - pertemuan wakil-wakil BN dengan MPPR dibatalkan dua jam sebelum dijadual berlangsung 11 pagi. Seramai 20 wakil BN bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan menteri besar Terengganu, selain menyatakan sokongan mereka kepada Idris. Istana Terengganu dilaporkan menafikan pembabitannya dengan isu pelantikan jawatan itu. 18 Mac - Idris menyeru penduduk Terengganu bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana. 19 Mac - Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar. Menurut perlembagaan, kata beliau, Baginda dilarang menjalankan fungsi sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam. Tan Sri Abdul Gani Patail menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan tersebut dan menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan sepenuhnya pada MPPR. 20 Mac - Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu. 21 Mac - Empat lelaki tersebut, yang disiasat antaranya menurut Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dibebaskan. Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yang dilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar. 22 Mac - Pejabat Sultan Terengganu melantik Ahmad sebagai menteri besar dan majlis angkat sumpah diumumkan pagi esoknya. Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengumumkan untuk memulaukan majlis tersebut. Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu (yang tidak dinamakan) kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal. Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin. 23 Mac - Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR. Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR. Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad. Idris bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya. Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN. Malam ini di Kuala Lumpur, semua 23 wakil BN terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik MB. Rosol, di sidang media itu, menafikan kenyataan timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa semua ketua bahagian menolak Idris. Hanya bahagian-bahagian Hulu Terengganu (diketuai Tengku Putera), Marang, Dungun dan Kemaman (diketuai Ahmad) menolak Idris (ketua bahagian Besut); manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu menyokongnya. |
Tuesday, March 11, 2008
HarakahDaily.Net - PAS Kelantan terus berusaha - Nik Aziz
| Intan Abdullah Tue | Mar 11, 08 | 08:46:38 AM | |
| KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Setelah memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-12, pimpinan PAS Kelantan akan terus berusaha menjaga kemenangan tersebut dengan sebaiknya.
Pesuruhjayanya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau mengharapkan agar semua pihak akan menjaga sebaiknya amanah yang diberikan rakyat kepada PAS untuk terus menerajui negeri serambi mekah itu sejak 18 tahun lalu. "Kita mesti menjaga sebaik-baiknya anugerah ini dan tidak mudah lalai dan leka dengan nikmat yang dikurniakan Allah," ujarnya pada sidang media sebaik mendapat keputusan pilihan raya ke-12 di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kelantan, 8 Mac lalu. Tegasnya, sejak dilantik menjadi Menteri Besar pada 1990 lalu, beliau sentiasa ingat bahawa kepercayaan yang diberikan rakyat merupakan amanah Allah supaya melaksanakan segala dasar Islam. "Kerajaan di dunia ini bukan kita yang punya, jangan pandai-pandai buat undang-undang dan peraturan hidup sendiri yang menolak hukum Allah," katanya. Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Kelantan khususnya jentera parti yang telah bertungkus lumus bekerja untuk mempertahankan kemenangan Islam di Kelantan. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kelantan yang telah bekerjasama bagi memastikan Islam terus memerintah, khususnya kepada jentera parti yang telah bekerja keras. Semoga semuanya diterima Allah sebagai amal boleh di sisiNya," katanya lagi. Mengulas mengenai tohmahan yang selalu diletakkan kepada kerajaan PAS Kelantan, Mursyidul Am PAS itu berkata sebelum ini kerajaan pusat diterajui Umno-BN tetap melaksanakan projek pembangunan di negeri itu meskipun ia berada di bawah kepimpinan kerajaan PAS. "Ini membuktikan bahawa kita tidak perlu menukar kerajaan bagi membolehkan kerajaan pusat menyalurkan bantuan ke negeri ini," ujarnya lagi. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan pilihan raya kali ini yang baginya di luar dugaan. "Memang saya terkejut sungguh, ini semua kuasa Allah yang merupakan 'tsunami politik' pada tanah air kita," ujarnya. Ujarnya, Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP menerima kemenangan ini dengan penuh rasa hormat. "BA terima kemenangan dengan pernuh rasa hormat, serta yakin dengan Allah kerana tidak ada sesuatu pun yang boleh lawan kuasa ALlah walau pelbagai usaha dilakukan. "Melihat kepada pelbagai usaha untuk menumbangkan kepimpinan Islam di Kelantan, saya berasa agak sukar. Tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya dengan memberi kemenangan ini," tegasnya. Beliau turut berpesan kepada pimpinan dan petugas parti yang diberikan kemenangan agar bersikap khusyuk dan tawadhu' dengan apa yang sedang dikurniakan Allah sebagai tanda kesyukuran. "Kita yang menang, jangan ada sikap berdendam. Sebaliknya kena khusyuk dan tawadhuk bila berdepan dengan kemenangan ini," katanya mengakhiri sidang tersebut. |
HarakahDaily.Net - BN Terengganu terselamat dengan bantuan pengundi hantu
| Awang Harun Mon | Mar 10, 08 | 4:54:23 pm MYT | |
| MARANG, 10 Mac (Hrkh) - Nasib Barisan Nasional Terengganu lebih baik kerana tidak seburuk rakan-rakannya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang mengakibatkan berlaku pertukaran kerajaan negeri.
Sebelum ini, Terengganu dan Kelantan menjadi tumpuan utama BN dan strategi membawa masuk pengundi 'luar' (hantu) kedua-dua negeri itu dilakukan sejak PRU Ke-11 lagi. Namun begitu, senario kali ini tidak semudah disangkakan apabila berlaku kebangkitan rakyat serta gelombang inginkan perubahan. Pada 8 Mac 2008 lalu, berlaku satu insiden di Kampung Rusila, Marang apabila penduduk setempat bertindak sendirian menahan dua buah bas yang disyaki membawa para pengundi luar, kira-kira jam 10.00 pagi tersebut. Kedua-dua penumpang bas berkenaan ditahan serta diambil kad pengenalan masing-masing bagi tujuan semakan daftar pemilih di Peti Undi Rusila, Marang. Harakah dimaklumkan, pengesahan dibuat membuktikan penumpang kedua-dua buah bas tersebut merupakan pelatih jururawat berasal dari Selangor, Perak dan Sabah. Mereka dikatakan telah didaftarkan sebagai pengundi di Peti Undi Rusila bagi menjatuhkan Presiden PAS dalam pilihan raya kali ini. Polis yang menerima maklumat berhubung kes tersebut bergegas ke tempat kejadian serta meminta penduduk terbabit menyerahkan kembali sejumlah 58 keping kad pengenalan yang diambil itu. Sehubungan itu, anak kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang iaitu Muhamad Khalil telah tampil bagi membantu pihak polis mendapatkan kembali kad-kad pengenalan tersebut. Sebaliknya, pihak polis bertindak agresif dengan menahan Muhamad Khalil di bawah Seksyen 25(1) (a) Peraturan Pendaftaran Negara kerana didakwa kononnya menyimpan kad pengenalan orang lain tanpa mempunyai kuasa sah mengikut undang-undang. Insiden spontan itu, telah membangkitkan kemarahan anak-anak muda dan penduduk setempat bertindak menghalang serta 'bertempur' dengan pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Dalam kejadian tersebut anggota FRU sekali lagi bertindak agresif dengan melepaskan lebih 20 butir bom asap (pemedih mata) bagi menyurai kumpulan orang ramai itu. Ekoran insiden tersebut, Muhamad Khalil yang ditahan serta berada di dalam kenderaan pancuan empat roda polis tercedera di kepala akibat terkena serpihan kaca dan batu. Kejadian tersebut mengakibatkan anak Presiden PAS itu terpaksa menerima rawatan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Rusuhan berlaku seketika akibat tindak balas penduduk setempat mempertahankan diri dari tindakan agresif polis dan anggota FRU terhadap orang awam di tempat kejadian. Lebih 1000 orang awam terdiri dari kalangan penduduk setempat yang keluar mengundi bertindak mempertahankan diri dari keganasan pihak pasukan keselamatan. Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayob Yaakob berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis dan setakat ini seramai 24 orang ditahan termasuk Muhamad Khalil. Katanya, polis menahan 24 individu berusia 15 hingga 60 tahun di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 143 kerana berhimpun secara haram, Seksyen 36 (1) (n) Akta Pilihan Raya dan Seksyen 25(1)(a) Peraturan Pendaftaran Negara. Presiden PAS, sekali lagi mempertahankan tindakan Muhamad Khalil bersama penduduk setempat menghalang serta menyekat pengundi luar pada insiden 8 Mac 2008 lalu. Katanya, Khalil dan penduduk kampung Rusila bertindak cemerlang dalam usaha memulihkan demokrasi di negara ini. "Dia (Khalil) dan penduduk kampung ini (Rusila) ditahan polis dan tercedera kerana terkena batu ketika berada dalam kenderaan polis dan saya berbangga dengan dia. "Biarlah, dia (anak) kena tahan kerana berjuang menuntut keadilan dalam demokrasi yang semakin tercemar," ujarnya ketika ditemui di rumahnya, Sabtu lalu. Katanya, Muhamad Khalil bersama penduduk berjaya menahan dua buah bas yang disahkan pengundi berasal dari Selangor, Perak dan Sabah. Kejadian tersebut telah berjaya menyelamatkan kerusi PAS Rhu Rendang serta berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Marang dari tangan Barisan Nasional. Keputusan pilihan raya menunjukkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan kerusi Rhu Rendang menewaskan calon BN, Razali Idris dengan majoriti 2,686 undi. Manakala, bagi kerusi Parlimen Marang pula berjaya dirampas kembali menewaskan calon BN, Dato' Dr Ahmad Ramzi Zubir dengan majoriti 2,747 undi. Tinjauan Harakah pada hari pengundi berlaku mana-mana tempat yang 'panas' serta berjaya menahan pengundi luar masuk ke tempat mengundi didapati akan dimenangi oleh calon PAS dalam Pilihan Raya ke-12 ini. - mr |
HarakahDaily.Net - Presiden PAS bangga atas keberanian anak tahan pengundi hantu
| Salmah Mat Husain Mon | Mar 10, 08 | 11:38:27 AM | |
| KOTA BHARU, 10 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, melahirkan rasa bangga terhadap anaknya yang berani menentang kezaliman dan ketidakadilan semasa proses Pilihan Raya Umum berjalan kelmarin.
Menurut Tuan Guru, akibat keberanian Muhammad Khalil, berserta 21 penyokong yang lain yang berani menghalang pengundi luar dari mengundi di Kampung Rusila, Marang dekat sini tertangkap. Katanya, mereka berusaha bertindak menghalang tiga buah bas yang dipercayai membawa pengundi luar yang kebanyakkannya datang dari Perak, Kedah dan Selangor. Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, di sini petang semalam ketika bertanya berhubung anaknya. Bagaimanapun Tuan Guru belum mengetahui status anaknya sekarang, kerana perkara itu diserahkan kepada pihak parti di Terengganu untuk menguruskannya. “Saya begitu bangga dengan pengorbanan gigih yang diberikan oleh anak saya berhubung perkara itu demi untuk menuntut keadilan,” ujarnya. Kelmarin polis Terengganu menghalang anaknya termasuk 21 orang penyokong kerana bertindak menahan bas serta merampas kad pengenalan pengundi di Kampung Rusila. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu, 200 hingga 300 penyokong PAS bertindak menahan tiga buah bas dan beberapa kenderaan awam yang melalui kawasan tersebut untuk menahan mereka yang disyaki pengundi hantu. Dalam sidang media itu juga, Tuan Guru turut melahirkan rasa terkejutnya di atas kemenangan besar pakatan pembangkang hingga berjaya menjatuhkan empat buah negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Menurutnya, kemenangan itu merupakan isyarat rakyat sudah muak dengan janji kerajaan BN yang hanya berbangga dengan kemajuan pembangunan. Katanya, apa yang dapat dilihat kemenangan besar calon BA berjaya diperolehi di pusat dan pinggir bandar di mana mereka ini terdedah dengan pelbagai sumber bacaan seperti internet, akhbar dan sebagainya. Sambungnya, berbanding masyarakat kampung hanya lebih terdedah dengan ‘umpan’ yang diberikan oleh pihak BN melalui media mereka seperti televisyen. - mns |
HarakahDaily.Net - Kebangkitan rakyat kini lebih hebat berbanding PRU 1999
| Harakahdaily Fri | Mar 07, 08 | 12:08:21 PM | |
| POKOK SENA, 7 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar yakin gelombang rakyat menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 ini lebih baik berbanding tahun 1999.
Katanya, pada 1999, PAS dan rakan-rakan dalam BA sukar menembusi kawasan pengundi bukan Melayu, tetapi kali ini situasi amat berlainan. Mahfuz yang ditemui ketika berkempen di Taman Lam Soon, Derga dekat ini berkata, kali ini kaum Melayu, Cina dan India sudah bersatu untuk memperjuangkan hak-hak rakyat yang ditindas BN. Menurutnya, tahun 1999 menyaksikan gelombang besar kebangkitan rakyat yang prihatin dengan kezaliman ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Namun katanya, isu tersebut hanya berjaya menggerakkan kesedaran di kalangan orang Melayu. "Kita alami kesukaran untuk menembusi kawasan Cina dan India sehingga pilihan raya tahun 2004. "Tetapi kali ini suasana amat berbeza, kita mendapat sokongan luar biasa, mereka (kaum Cina dan India) mengundang kita berceramah, membuka pos kita, mengedar risalah dan berkempen untuk kita," ujarnya. Fenomena ini katanya, bukan sahaja berlaku di Kedah, malahan di seluruh negara, menunjukkan sokongan yang hebat kepada pembangkang. Beliau yakin, Umno-BN yang selama ini bergantung kepada undi kaum Cina dan India amat tergugat sekarang ini. - mr |
