Tuesday, March 11, 2008

HarakahDaily.Net - Presiden PAS bangga atas keberanian anak tahan pengundi hantu

Presiden PAS bangga atas keberanian anak tahan pengundi hantu
Salmah Mat Husain
Mon | Mar 10, 08 | 11:38:27 AM

KOTA BHARU, 10 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, melahirkan rasa bangga terhadap anaknya yang berani menentang kezaliman dan ketidakadilan semasa proses Pilihan Raya Umum berjalan kelmarin.

Menurut Tuan Guru, akibat keberanian Muhammad Khalil, berserta 21 penyokong yang lain yang berani menghalang pengundi luar dari mengundi di Kampung Rusila, Marang dekat sini tertangkap.

Katanya, mereka berusaha bertindak menghalang tiga buah bas yang dipercayai membawa pengundi luar yang kebanyakkannya datang dari Perak, Kedah dan Selangor.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, di sini petang semalam ketika bertanya berhubung anaknya.

Bagaimanapun Tuan Guru belum mengetahui status anaknya sekarang, kerana perkara itu diserahkan kepada pihak parti di Terengganu untuk menguruskannya.

“Saya begitu bangga dengan pengorbanan gigih yang diberikan oleh anak saya berhubung perkara itu demi untuk menuntut keadilan,” ujarnya.

Kelmarin polis Terengganu menghalang anaknya termasuk 21 orang penyokong kerana bertindak menahan bas serta merampas kad pengenalan pengundi di Kampung Rusila.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu, 200 hingga 300 penyokong PAS bertindak menahan tiga buah bas dan beberapa kenderaan awam yang melalui kawasan tersebut untuk menahan mereka yang disyaki pengundi hantu.

Dalam sidang media itu juga, Tuan Guru turut melahirkan rasa terkejutnya di atas kemenangan besar pakatan pembangkang hingga berjaya menjatuhkan empat buah negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak.

Menurutnya, kemenangan itu merupakan isyarat rakyat sudah muak dengan janji kerajaan BN yang hanya berbangga dengan kemajuan pembangunan.

Katanya, apa yang dapat dilihat kemenangan besar calon BA berjaya diperolehi di pusat dan pinggir bandar di mana mereka ini terdedah dengan pelbagai sumber bacaan seperti internet, akhbar dan sebagainya.

Sambungnya, berbanding masyarakat kampung hanya lebih terdedah dengan ‘umpan’ yang diberikan oleh pihak BN melalui media mereka seperti televisyen. - mns

No comments: