Tuesday, March 11, 2008

HarakahDaily.Net - Faktor anak perantau tingkatkan kemenangan BA di Kelantan

Faktor anak perantau tingkatkan kemenangan BA di Kelantan
Rizal Tahir
Tue | Mar 11, 08 | 03:49:35 PM

KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) – Kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan dikenal pasti antara faktor menyebabkan Barisan Nasional (BN) sukar mempertahankan pencapaiannya pada pilihan raya umum lalu.

Ini kerana pada pilihan raya umum ke-11, tidak ramai anak-anak perantau pulang mengundi kerana mereka yakin PAS tidak mampu digugatkan ketika itu.

Tanpa kepulangan anak-anak Kelantan menyebabkan BN mendapat lonjakan besar sehingga mampu menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Dan kerusi BN bertambah lagi kepada 22 apabila memenangi pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Disember 2005.

Sehubungan itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Dato' Takiyuddin Hassan merakam ucapan terima kasih dan penghargaan tinggi kepada anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang mengundi.

Katanya, anak perantau yang pulang mengundi dari seluruh pelusuk negara dianggap sebagai second force dalam membantu kemenangan PAS dan KeADILan mengekalkan pentadbiran Islam di Kelantan.

"Kesungguhan saudara-saudara untuk pulang mengundi dengan niat mempertahankan kerajaan Islam di negeri ini sungguh luar biasa," katanya di majlis kesyukuran anjuran Majlis Tindakan Dun Bunut Payong di sebuah restoran di sini malam tadi.

Menurut beliau PAS Kelantan tidak akan mengsia-siakan pengorbanan anak Kelantan dan bersedia memberi penghormatan kepada mereka dalam bentuk yang difikir sesuai.

Selain itu kata Takiyuddin yang menang di Dun Bunut Payoang berkata, faktor kesungguhan jentera pilihan raya PAS yang bekerja siang malam merupakan kekuatan dalaman.

Menurutnya keadaan tambah menarik lagi dengan kepulangan perantau yang berduyun-duyun, dianggap tenaga kedua bagi menyumbang kejayaan cemerlang pada pilihan raya kali ini.

Takiyuddin juga menyifatkan kempen pilihan raya ke-12 sebagai situasi penuh mencemaskan di samping tekanan paling tidak demokratik pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sehingga pagi hari mengundi saya dan Tok Guru Nik Abdul Aziz terus menerima laporan tentang pelbagai taktik kotor yang dilakukan parti lawan,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana pengundi menunjukkan kematangan yang tinggi dan tidak termakan dengan tipu daya parti pemerintah yang memperalatkan segala kemudahan milik rakyat dan media massa.

"Keputusan yang dibuat rakyat memberikan lima negeri dan Wilayah Persekutuan kepada BA menunjukkan maruah rakyat tidak boleh digula-gulakan dengan tipu daya murahan," ujarnya. - mj

No comments: