Tuesday, March 11, 2008

HarakahDaily.Net - Kerajaan BA Kedah rujuk model pentadbiran Kelantan

Kerajaan BA Kedah rujuk model pentadbiran Kelantan
Salmah Mat Husain
Tue | Mar 11, 08 | 1:10:11 pm MYT

KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) – Kerajaan Barisan Alternatif (BA) di Kedah akan menjadikan Kelantan sebagai model bagi melaksanakan pentadbirannya yang ternyata mampu memberi keadilan kepada semua rakyat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akan dicontohi kerajaan Kedah.

“Untuk itu kita akan mencontohi pentadbiran yang diasaskan di Kelantan bagi dilaksana di negeri Kedah,” ujarnya pada sidang media di sini, kelmarin.

BA di Kedah berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 22 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). PAS menang 16 kerusi, KeADILan (empat), DAP dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Sedangkan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 14 kerusi Dun. Abdul Hadi yang juga menang di parlimen Marang dan Dun Rhu Redang berkata, Kelantan berjaya menjadi model kepada semua masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau juga berkata, kerajaan BA di Kedah akan meneruskan mana-mana pembangunan yang ditinggalkan kerajaan sebelumnya bagi memastikan kebajikan rakyat lebih terbela.

“Apa yang menariknya semua negeri yang kita menang merupakan negeri yang sudah membangun, itu menandakan rakyat yang mengundi kita memahami apa itu sebenarnya pembangunan.

“Pembangunan adalah perkara biasa yang harus dilaksanakan pemerintah, namun apa yang penting bagaimana untuk mengisi dan melaksanakan pembangunan dengan cara yang baik, adil atau sebaliknya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya kemenangan calon BA di kawasan bandar membuktikan rakyat tidak memburu pembangunan semata-mata kerana ia tetap dilaksanakan mana-mana pemerintah.

“Apa yang penting rakyat inginkan perubahan dalam tampuk pentadbiran yang dapat membawa mereka kepada keamanan dan kesejahteraan,” katanya. - mj


No comments: